PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka semakin hangat apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat berpotensi besar untuk mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Penganalisis Politik, Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi laluan kepada Rafizi untuk mempertahankan jawatan tersebut, namun secara hakikatnya proses pemilihan tetap terbuka kepada mana-mana ahli yang layak bertanding.
Katanya, hanya jawatan Presiden dijangka tidak akan dicabar kerana kedudukan Anwar yang cukup kukuh dan disegani dalam kalangan ahli serta penyokong parti.
“Tentang pemilihan PKR ini, ada kemungkinan Datuk Seri Saifuddin Nasution mungkin akan mencabar kedudukan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden.
“Walaupun Datuk Seri Anwar menyatakan beliau memberi laluan kepada Rafizi untuk kekal sebagai Timbalan Presiden, tapi ia bukan satu ketetapan yang legal dari segi perlembagaan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan keputusan pemilihan parti peringkat cabang akan dimuktamadkan segera.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, saingan antara Rafizi dan Saifuddin juga tidak akan memecahbelahkan parti memandangkan tumpuan ahli akar umbi kini lebih lebih terarah kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Katanya, kedudukan Rafizi tidak dianggap sebagai ancaman kepada Anwar malah jurang kepimpinan dalam PKR ketika ini membolehkan sesiapa sahaja berpotensi diketengahkan sebagai pemimpin masa depan parti.
“Saya tidak fikir persaingan antara Saifuddin dan Rafizi ini berupaya mengugat kestabilan dalam PKR sebab fokus akar umbi PKR sekarang ini adalah kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.
“Jurang yang luas antara Anwar dan pemimpin lain membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk diketengahkan memimpin PKR,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hassan berpendapat, kemungkinan besar Saifuddin akan mengumumkan pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden sebelum tamat tempoh pencalonan parti itu.
Katanya, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada Rafizi akan mempertahankan jawatan tersebut atau tidak, namun jika berlaku pertandingan, ia tidak akan menggugat kestabilan parti kerana kedua-duanya menawarkan pendekatan yang berbeza.
“Besar kemungkinan Saifuddin menyahut cabaran merebut jawatan Timbalan Presiden ini. Sama ada akan berlaku pertandingan atau tidak bergantung kepada keputusan Rafizi dalam beberapa hari akan datang.
“Jika berlaku persaingan, kita akan dapat lihat dua pendekatan berlainan ditawarkan. Rafizi lebih cenderung menggunakan data dan statistik untuk membuat keputusan manakala Saifuddin lebih bersandarkan kepada sentimen dan suara hati rakyat,” katanya.-UTUSAN