Saham tempatan meningkat ke paras tertinggi dalam dua bulan - Utusan Malaysia

Saham tempatan meningkat ke paras tertinggi dalam dua bulan

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan selepas persetujuan Amerika Syarikat (AS)-China untuk mengurangkan sementara tarif selama 90 hari.

Pada penutup dagangan semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 35.89 mata kepada 1,582.39 pada pukul 5 petang, berbanding 1,546.50 pada penutup Isnin. 

Jumlah volum dagangan adalah 4.16 bilion unit bernilai RM4.88 juta.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perubahan dalam tarif itu menunjukkan kemungkinan pihak AS menyedari bahawa tarif tersebut bakal memberi impak kepada negara mereka sendiri.

“Tanggapan ini turut menunjukkan rundingan dengan AS mungkin akan menghasilkan keputusan yang baik bagi semua pihak. 

“Justeru, perkembangan ini mendorong sentimen pasaran yang positif serta meningkatkan selera risiko dalam kalangan pedagang dan pelabur di pasaran saham,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, peningkatan tersebut banyak disumbangkan oleh perkembangan positif antara AS dan China, di mana tarif akan dikurangkan buat sementara waktu hasil rundingan antara kedua-dua negara di Geneva. 

“Justeru, situasi ini memberi harapan bahawa kejutan tarif AS dapat dikurangkan melalui meja rundingan dengan pelbagai negara, termasuk Malaysia,” katanya. 

AS dan China dilaporkan bersetuju untuk mengurangkan tarif antara satu sama lain selama 90 hari, menandakan ketegangan yang mereda dalam perang perdagangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Menerusi perjanjian yang dirundingkan di Geneva pada akhir minggu lalu, AS akan mengurangkan tarif tambahan ke atas barangan China kepada 30 peratus daripada 145 peratus manakala China akan mengurangkan tarif import AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus.

China turut mengumumkan untuk membatalkan atau menggantung beberapa langkah bukan tarif yang sebelum ini dikenakan ke atas AS.

Selepas pengumuman perjanjian tersebut, saham AS ditutup tinggi dengan ketara pada Isnin apabila melonjak 1,160 mata kepada 42,410.10.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, langkah tersebut mengurangkan risiko kemelesetan di AS dan global serta mendorong aliran masuk dana asing bersih yang lebih tinggi.

“Kami mengekalkan sasaran KLCI pada 1,657 mata dengan merancang semakan semula selepas tempoh laporan pendapatan suku pertama 2025.

“Kami kekal memilih syarikat berorientasikan domestik dengan hasil dividen yang stabil terutamanya dalam sektor perbankan, telekomunikasi, utiliti, pembinaan dan penjagaan kesihatan sebagai perlindungan daripada cabaran berkenaan tarif,” katanya.

Menurutnya, bank di Malaysia berpeluang menerima manfaat daripada perkembangan ini berikutan mudah tunai dan peranannya sebagai proksi langsung kepada ekonomi domestik, yang menyaksikan Public Bank, RHB Bank dan Alliance Bank Malaysia sebagai pilihan utama CIMB Securities dalam sektor perbankan.

Sektor perladangan juga dijangka mendapat manfaat daripada permintaan global yang lebih kukuh terhadap minyak makan serta harga minyak mentah yang tinggi sekiranya ekonomi bertambah baik, dengan IOI Corporation sebagai pilihan utama.

Selain itu, mereka yakin pengeluar sarung tangan Malaysia akan terus menikmati faedah kos memandangkan tarif AS terhadap import Malaysia kekal pada 10 peratus berbanding 30 peratus ke atas import China.

CIMB Securities memilih Inari Amertron dan MPI Tech bagi sektor teknologi manakala Kossan dan Supermax sebagai pilihan utama dalam kalangan pengeluar sarung tangan.

“Kami telah mengeluarkan SD Guthrie daripada senarai pilihan utama berikutan penurunan penarafan yang terkini. Senarai pilihan utama yang dikemas kini adalah CelcomDigi, Gamuda, Public Bank, Farm Fresh, RHB Bank, Tenaga Nasional, IHH Healthcare dan 99 SpeedMart,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN