KUALA LUMPUR: Kerajaan membentangkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada sidang Parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah kira-kira 2.2 juta pekerja dalam sektor tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akui masih ada kekurangan terhadap beberapa aspek yang memerlukan pembaikan khususnya dalam menjaga kebajikan kumpulan pekerja dalam sektor berkenaan.
“Insya-Allah, kekurangan seperti yang dihadapi pekerja gig akan kita selesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Untuk rekod, berdasarkan statistik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sektor ekonomi gig terus berkembang pesat dengan jumlah pekerjanya mencecah 2.2 juta setakat tahun 2023.
Terdahulu, Chee Keong dalam ucapannya berkata, di bawah pimpinan Perdana Menteri, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang disifatkan sebagai bersejarah.
Kata, draf itu hasil kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input atas talian, mengadakan town hall mega serta membuat rujukan membabitkan 3,000 pemegang taruh.
“Kerajaan mendengar keluhan anda. Sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.
“Justeru saya ingin menyeru kepada semua pihak, jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig.
“Berilah sokongan kepada kerajaan untuk membentangkan RUU Pekerja Gig di sidang Parlimen yang akan datang demi membela nasib pekerja gig kita,” katanya.-UTUSAN