PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di enam negeri yang dijangka berlarutan sehingga pukul 3 petang ini.
Dalam satu kenyataan, MET Malaysia memaklumkan, jangkaan cuaca itu melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak.
“Di negeri Kedah, antara kawasan yang terjejas ialah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu,” katanya.
Sementara itu, amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di Pulau Pinang dijangka akan tertumpu di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Antara kawasan di Perak yang akan terjejas termasuk Larut, Matang Dan Selama dan Hulu Perak,” katanya.
Selain itu, kawasan yang akan terjejas di Johor pula ialah Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Bagi Sarawak pula, cuaca buruk diramalkan akan melanda kawasan pedalaman Mukah iaitu di Tanjung Manis, Daro dan Matu.-UTUSAN