Reformasi industri padi beras negara

Reformasi industri padi beras negara

REFORMASIKAN polisi bagi memastikan industri padi dan makanan ruji negara kembali stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan perlu me­re­formasikan semua polisi ter­utama melibatkan dasar berkaitan harga kawalan beras dan lantai padi bagi memastikan industri padi dan makanan ruji negara itu kembali stabil.

Dasar berkaitan beras dan padi negara sudah lapuk dan jauh ketinggalan berbanding negara lain sekali gus menjadi punca kepada permasalahan yang membelenggu petani, pengilang dan pengguna.

Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, masalah utama membelenggu industri padi dan beras disebabkan polisi sudah tidak seiring dengan keperluan industri terutamanya selepas era Covid-19.

Kestabilan harga padi dan beras khususnya sangat diperlukan pemegang taruh dalam rantaian bekalan sama ada melibatkan pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.

“Malaysia tidak boleh terikut dengan polisi diamalkan di negara pengeluar beras dunia se­perti Thailand.

“Dasar mereka memfokuskan kepada eksport beras sebanyak mungkin dan mampu terjual cepat di pasaran dunia supaya tidak menjadi lambakan dalam negara.

“Ia penting bagi Thailand kerana mereka menghasilkan ‘surplus’ atau lebihan beras untuk tujuan eksport ke luar negara iaitu lebih 9 juta tan metrik setahun, di mana ia adalah satu pendapatan yang besar bagi negara mereka.

“Kita tidak boleh mengamalkan dasar seperti di Thailand, India dan Vietnam kerana Malaysia belum mencapai tahap sara diri 100 peratus dalam pengeluaran beras,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Negara perlu melaksanakan polisi mampan dan kalis terhadap pergerakan harga beras dunia yang sentiasa ada naik dan turun.

“Jika ia tidak dilaksanakan, ketidakstabilan harga beras import akan mengganggu perjalanan industri seperti yang berlaku dalam isu campuran beras sehingga menyebabkan ketiadaan beras tempatan di pasaran yang berlarutan lebih dua tahun.

“Sekiranya kita mampu mengawal harga yang stabil dalam pasaran domestik, barulah setiap pemegang taruh berani melabur lebih dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan pendapatan mereka.

“Sebagai contoh, pesawah akan lebih berani untuk mengeluarkan kos membaiki tanah sawah dan membeli input pertanian yang berkualiti untuk meningkatkan hasil memandangkan mereka tidak perlu risau dengan harga padi yang sudah dijamin.

“Pengilang lebih berani menaik taraf jentera pengilangan supaya dapat meningkatkan perolehan beras yang dibeli daripada pesawah.

Pemborong akan meningkatkan kualiti akhir produk dan menggiatkan aktiviti pemasaran kerana unjuran aliran tunai lebih mudah untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Pengguna dan peniaga makanan tidak perlu membuat banyak pelarasan perbelanjaan bulanan jika harga stabil sekali gus bakal menyaksikan seluruh rantaian menerima manfaat daripada kestabilan harga.

Beliau mencadangkan lima langkah meningkatkan pengeluaran hasil sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap beras import

Pertama: Wujudkan satu gred tunggal beras putih tanpa diasing­kan antara beras putih tempatan dengan import berikutan tiada dapat dibezakan daripada segi fizikal beras kecua­li melalui pengesanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Harga beras tempatan hari ini jika tidak disubsidikan sebenarnya sekitar RM32.25 sekampit dan ia selari dengan kos harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik.

Jika Kerajaan mampu mencari mekanisme untuk melaras­kan harga beras gred tunggal pada julat harga itu, maka harga lantai padi RM1,500 akan menjadi satu harga yang stabil.

Pesawah boleh fokus kepada perkara lebih penting iaitu usaha meningkatkan hasil padi secara intensif.

Kedua: Usaha reformasi benih padi juga perlu diberi tumpuan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan khususnya yang melibatkan harga dan kualiti benih.

Pastikan benih dibekalkan oleh loji benih bebas daripada kesan penyakit atau kehadiran benih padi angin yang pasti akan mengakibatkan penurunan hasil padi.

Mana-mana loji benih yang tidak mencapai piawaian kualiti dan diberi maklum balas negatif oleh pesawah haruslah diambil tindakan dan dipotong kuota benih.

Ketiga: Kawalan dan pemantauan kepada kos-kos input pertanian perlu dibuat secara berkala supaya tidak wujud kenaikan harga mendadak dise­babkan sebarang spekulasi.

Keempat: Berkaitan soal infrastruktur dijanjikan kerajaan untuk dibina atau dinaik taraf perlulah disegerakan dan dipastikan berfungsi dengan optimum khususnya untuk infrastruktur yang melibatkan pengairan dan saliran.

Kelima: Mengelakkan budaya berpolitik dalam menjayakan kesemua usaha berkenaan dan agenda ini perlu disokong dan dipantau bersama oleh setiap pemimpin atasan atau pertengahan biarpun berbeza idealogi dan parti memerintah memandangkan sebarang ketidakpedulian hanya akan merugikan pesawah dan seluruh rantaian industri.

KERJASAMA MARDI DAN PESAWAH
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu memainkan peranan berkesan dalam menghasilkan benih padi dan ke arah itu, kerajaan perlu melonggarkan peraturan dalam pembangunan benih padi dengan mengadakan kerjasama kajian dengan pesawah setempat.

Katanya, kebanyakkan pesawah setempat mempunyai pengalaman di lapangan yang lebih tinggi dan arif tentang ciri-ciri variati terbaik untuk setiap lokaliti.

Ia penting kerana setiap kawasan penanaman padi mempunyai masalah tersendiri.

“Ada kawasan sukar mendapat bekalan air, maka diperlukan variati yang lebih tahan kemarau. Ada kawasan yang mudah terjadi banjir kerana kawasan rendah, maka diperlukan variati yang tahan lama walaupun ditenggelami air.

“Pada masa yang sama, setiap variati dibangunkan sama ada oleh MARDI, universiti atau Agensi Nuklear tidak boleh melalui tempoh yang terlalu lama untuk diluluskan. Saya difahamkan ada variati yang memerlukan tempoh sehingga 10 tahun untuk boleh diluluskan yang dalam bahasa bersawah, ia sudah memakan masa selama 20 musim untuk pesawah dapat beroleh variati baru,” katanya.

LIMA KALI DUA TAHUN LONJAK HASIL
Peruntukan RM5.4 bilion membantu meningkatkan penghasilan padi negara dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur termasuk bagi merealisasikan penanaman lima kali dua tahun.

Sebagai contoh, Perlis sahaja dijangka mampu meningkatkan hasil sehingga 30 peratus semusim melalui projek penanaman padi lima kali dua tahun yang dilaksanakan di enam lokasi membabitkan keluasan 4,957 hektar di negeri ini.

Jika ia direalisasikan, Perlis mampu menyumbang lebih 15 peratus pengeluaran beras negara berbanding ketika ini hanya sekitar 11 peratus.

Kira-kira 17,000 pesawah di Perlis mengusahakan tanaman di kawasan seluas 30,000 hektar di dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hanya mampu menjana hasil sekitar 135,000 tan metrik semusim.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, untuk projek bagi fasa awal tersebut, sebanyak enam kawasan terlibat di Perlis iaitu di Guar Sanji, Tambun Tulang, Simpang Empat serta tiga lagi lokasi di Kayang melibatkan 2,833 peserta.

Pesawah perlu mengambil kira soal penggunaan benih berkualiti, faktor tanah dan disiplin tanaman dengan mengikut jadual penanaman sebetulnya bagi meningkatkan hasil.

“Ketika ini, hasil rata-rata pesawah di Perlis hanya sekitar lima tan perhektar dan sasaran kita peningkatan hasil sehingga 10 tan metrik melalui projek berkenaan. Jika projek ini berjalan dengan lancar, insya-Allah hasil tanaman padi akan me­ningkat dan dapat memenu­hi keper­luan beras negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN