Ramasamy tidak mengaku pecah amanah lebih RM800,000

Ramasamy tidak mengaku pecah amanah lebih RM800,000

P. RAMASAMY (tengah) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 17 pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan dana Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) berjumlah RM859,131.

Ramasamy, 76, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke-13, Ramasamy yang ketika itu menjadi Pengerusi LWHNPP didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta organisasi berkenaan.

Ia dengan cara membuat bayaran berjumlah RM779,131.29 menerusi cek dan pindahan telegraf untuk pembelian pedati emas tanpa mendapat kelulusan mesyuarat LWHPP terlebih dahulu.

Bagi pertuduhan ke-14 dan ke-15, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan bayaran perbelanjaan perubatan menerusi dua cek berjumlah RM65,000 manakala bagi dua lagi pertuduhan, Ramasamy didakwa melakukan pecah amanah membabitkan pembayaran untuk bantuan kewangan pendidikan menerusi dua cek sebanyak RM15,000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dua bank berasingan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Prangin Mall, George Town dalam daerah Timur Laut antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023.

Atas kesalahan itu, tertuduh  boleh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan serta denda. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili tiga orang peguam iaitu Dr. Shamser Singh Thind, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.

Zulhazmi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM78,000 bagi semua pertuduhan selain mengarahkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. Pada masa yang sama, tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN