SEOUL: Anggota kumpulan IDID, Park Junhwan, hangat diperkatakan gara-gara pendedahan seorang individu mengenai sikap buruk penyanyi itu di sekolah tersebar baru-baru ini.
Individu tersebut, yang mengaku dirinya pelajar di sekolah yang sama dengan Junhwan mendakwa penyanyi berusia 18 tahun itu mempunyai masalah ketagihan seks dan sebelum ini telah merosakkan ramai anak gadis.
“Dia lelaki teruk yang merosakkan ramai perempuan di sekolahnya. Ramai bekas pelajar sekolah itu tahu tentang sikap buruknya.
“Dia terkenal dengan tabiat bertukar pasangan dan dia sendiri menceritakan perkara itu kepada ramai orang.
“Dan sekarang dia diangkat pula sebagai bintang K-Pop,” dedah individu terbabit menerusi perbualan berkumpulan dalam talian.
Seorang lagi individu yang turut mengaku dirinya bekas pelajar sekolah yang sama mendedahkan kononnya penyanyi itu dahulu memaksa bekas teman wanitanya melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa pelindung.
”Mereka gagal mengawal nafsu, tergamak melakukan hubungan seks di merata tempat seperti tandas dan gimnasium sekolah,” dedahnya.
Junhwan dalam pada itu terus mengunci mulut mengenai dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadapnya itu.
IDID, yang bernaung di bawah Starship Entertainment bakal secara rasmi diaktifkan pada pertengahan tahun ini. – UTUSAN