TELUK INTAN: Rakan-rakan kepada pemandu lori muatan batu yang terbabit nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, akan mencari peguam bagi mewakili lelaki itu.
Rakannya yang mahu dikenali sebagai Fizey, 36, berkata, pihaknya telah berhubung dengan beberapa peguam bagi membincangkan perkara tersebut.
“Buat masa ini ada beberapa peguam yang kami telah berhubung dan insya-Allah kami akan lantik peguam,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Mahkamah Teluk Intan di sini hari ini.
Terdahulu, Fizey dan majikan Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, hadir di mahkamah untuk membayar ikat jamin lelaki itu sebanyak RM6,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Jumaat lalu.
Tertuduh, yang dibebaskan pada pukul 12 tengah hari itu bagaimanapun ditangkap semula 20 minit kemudian bagi membantu siasatan kes curi bersabit laporan polis di Hutan Melintang.
Dalam pada itu Fizey berkata, pembayaran ikat jamin ke atas rakannya itu dibuat hasil daripada sumbangan orang ramai termasuk oleh seorang wanita dikenali sebagai Azwani yang memberi bantuan sebanyak RM6,000.
“Kami terima sumbangan lebih RM1,000 yang disalurkan terus ke dalam akaun bank Roslan (penjamin) manakala Azwani pula memberi sumbangan berjumlah RM6,000.
“Bagaimanapun, pagi tadi setelah berbincang dengan Ravi (majikan) dia pun ingin menjamin Rudi, jadi kami setuju untuk dia jamin bagi enam pertuduhan manakala kami pula jamin bagi tiga pertuduhan.
“Baki wang sumbangan itu, akan diserahkan kepada Rudi untuk persediaan pelbagai urusan selepas ini termasuk kos guaman. Kita tahu lesen memandunya digantung, jadi dari mana dia mahu cari wang untuk bayar peguam,” katanya.
Mengulas lanjut Fizey berkata, pihaknya ralat dengan penahanan semula lelaki itu namun menyerahkan siasatan kes yang dikenakan ke atasnya kepada pihak berkuasa.
“Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus supaya tiada pihak yang teraniaya,” katanya.
Sementara itu, Fizey berkata, dia dan rakan-rakan turut berasa sedih dengan kejadian mengorbankan sembilan anggota polis itu dan secara ikhlas memohon kemaafan daripada keluarga mangsa.
“Kami memohon ampun kepada keluarga mangsa, insya-Allah suatu hari nanti kita akan berjumpa,” katanya. – UTUSAN