PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan bekas pencabarnya, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai seorang yang tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa.
Nurul Izzah berkata, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.
“Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
“Banyak idea beliau yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan ini kurang dari sejam selepas Rafizi mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Ekonomi yang berkuatkuasa pada 17 Jun ini.
Beliau berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu akan sentiasa menjadi kekuatan walau tidak berada di dalam kerajaan.
“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.
“Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, fokusnya kini kekal pada usaha untuk memperkukuh PKR.
“Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik, dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.
“Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini,” jelasnya.
Tambahnya, latihan wajib yang khusus kepada semua pemimpin parti termasuk di peringkat pusat, negeri dan cabang akan diperkenalkan.
“Latihan itu tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai. Kerana tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh.
“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka. Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan pengunduran daripada Jemaah Menteri selepas tewas pada Nurul Izzah dalam pemilihan PKR sebelum ini kerana berpandangan bahawa beliau tidak lagi mempunyai mandat untuk melakukan reformasi. – UTUSAN