PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli sedia mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan kali ini, meskipun perlu berhadapan dengan Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Ekonomi itu berkata, beliau mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan itu dan akan turut serta menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.
Katanya, apa sekalipun pilihan yang diambil perwakilan, ia membuka ruang kepadanya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin dan saudari Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti.
“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Rafizi, jika dipilih, beliau akan terus memainkan peranan dalam kepemimpinan parti sebagai timbalan presiden dan dalam Kabinet melalui saluran kerajaan.
Katanya, sekiranya tidak, beliau bakal kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah.
Ini susulan kebimbangannya melihat kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (defensive) dan tidak menyerang (offensive) seperti rentak semasa menjadi pembangkang.
“Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri.
“Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan.” ujarnya. – UTUSAN