KUALA PILAH: Bangunan lama stesen kereta api di Kuala Pilah yang kini terbiar perlu dipulihara serta diperbaiki bagi menjadi galeri mengambil kira potensi dan nilai tarikan sejarah serta warisan yang pada bangunan itu.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, beliau menyedari isu berkenaan bangunan berkenaan dan telah mengemukakan cadangan itu kepada pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP)
“Saya meminta MDKP mengambil langkah terbaik bagi memastikan bangunan stesen lama itu dipulihara kerana ia berpotensi dijadikan sebagai galeri atau muzium seperti yang turt dicadangkan penduduk,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai bangunan lama Stesen Kereta Api Kuala Pilah di sini yang terbiar dan menjadi mangsa perbuatan vandalisme, sekali gus mencemarkan nilai sejarah dan warisan kawasan itu.
Tinjauan juga mendapati eadaan dalaman bangunan kayu itu sangat daif dengan dipenuhi sampah-sarap berselerakan.
Dinding pula diconteng dengan pelbagai lukisan dan tulisan yang menjejaskan penampilan struktur bersejarah itu.
Adnan dalam pada itu berkata, usaha memulihara bangunan bersejarah seperti Stesen Kereta Api Kuala Pilah itu sangat memerlukan kerjasama semua pihak jika tidak ia hanya menjadi langkah yang sia-sia.
“Bagi saya, vandalisme ini terjadi berpunca dari masalah sikap individu kerana pihak MDKP memaklumkan mereka kerap membersihkan dan mengunci bangunan tersebut.
“Namun ia tetap dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDKP, Nawal Mohamed Amin ketika dihubung memaklumkan pihaknya telah sekali lagi mengambil langkah membersih dan mengunci bangunan tersebut dan berharap kejadian berkenaan dipecah masuk tidak berulang. – UTUSAN