'Pulau Pinang tidak jual tanah untuk tampung keperluan kewangan'

‘Pulau Pinang tidak jual tanah untuk tampung keperluan kewangan’

CHOW Kon Yeow ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan, kerajaan Pulau Pinang tidak menjual tanah semata-mata untuk menampung keperluan kewangan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah pelupusan tanah dilakukan bagi memacu pembangunan selain meningkatkan nilai sosioekonomi di kawasan yang terlibat.

Menurut Kon Yeow, istilah penjualan tanah tidak wajar digunakan dalam konteks pentadbiran tanah kerajaan negeri kerana secara teknikalnya, pelupusan dilaksanakan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965.

“Kita tidak menjual tanah seperti yang didakwa. Sebaliknya, tanah itu dilupuskan melalui kaedah pemberimilikan, pajakan atau cara lain yang dibenarkan undang-undang.

“Sebagai makluman, urusan penjualan tanah dilaksanakan bukan semata-mata untuk memperoleh hasil, tetapi, bertujuan memacu pembangunan, menjana peluang pekerjaan serta menambah nilai ekonomi kepada kawasan setempat,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Kon Yeow berkata, bagi urusan pelupusan tanah, kerajaan negeri akan mengambil kira nilaian tanah semasa berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Selain itu, sekiranya tanah tersebut melibatkan projek strategik termasuk pembinaan rumah, maka, kerajaan negeri akan menggunakan pendekatan Request For Proposal (RFP) dalam melupuskan tanah tersebut. Ini bagi membolehkan kerajaan negeri memperoleh hasil premium yang lebih tinggi daripada nilaian tanah semasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan ini tidak mengurangkan pegangan tanah kerajaan negeri, malah, bertujuan membangunkan kawasan yang berpotensi demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, dengan membangunkan tanah kerajaan, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang mempunyai hak untuk memohon peruntukan daripada Persekutuan bagi menampung aliran tunai yang antaranya menyumbang kepada peningkatan Akaun Amanah Disatukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN