Kubur besar mengandungi ratusan mayat bayi, kanak-kanak digali semula - Utusan Malaysia

Kubur besar mengandungi ratusan mayat bayi, kanak-kanak digali semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Kerja-kerja penggalian satu kubur besar di sebuah bekas rumah perlindungan ibu dan anak di barat Ireland dimulakan selepas ia disyaki mengandungi mayat ratusan bayi dan kanak-kanak kecil.

Siasatan selama dua tahun yang dirancang oleh pakar tempatan dan antarabangsa di Tuam ini berlangsung lebih sedekad selepas seorang sejarahwan amatur pertama kali menemui bukti kewujudan kubur besar di kawasan itu.

Penggalian percubaan yang dijalankan antara 2016 dan 2017 kemudian menemui sejumlah besar sisa mayat bayi dalam sebuah tangki septik bawah tanah yang telah lama tidak digunakan. Tapak tersebut kini terletak di dalam kawasan perumahan.

Institusi “ibu dan anak” yang dijalankan oleh biarawati Katolik beroperasi di Tuam antara tahun 1925 hingga 1961. Tempat itu menempatkan wanita-wanita yang hamil luar nikah dan telah dibuang keluarga.

Selepas bersalin, sesetengah anak tinggal di rumah tersebut, namun ramai yang diserahkan untuk diambil sebagai anak angkat — di bawah satu sistem yang sering melibatkan kerjasama rapat antara gereja dan kerajaan.

Institusi-institusi ini, yang bersifat menindas dan misoginis, pernah beroperasi di seluruh Ireland dan mewakili satu bab yang gelap dalam sejarah negara yang suatu ketika dahulu sangat Katolik dan konservatif dari segi sosial. Sesetengah daripadanya tidak ditutup sehinggalah tahun 1998.

Satu siasatan selama enam tahun yang dilancarkan susulan penemuan awal di Tuam mendapati seramai 56,000 wanita bujang dan 57,000 kanak-kanak telah melalui 18 buah rumah seperti itu dalam tempoh 76 tahun.

Siasatan itu turut mendedahkan bahawa 9,000 kanak-kanak telah meninggal dunia di rumah-rumah perlindungan yang dikendalikan oleh negara dan Gereja Katolik di seluruh negara.

Rekod yang ditemui menunjukkan seramai 796 bayi dan kanak-kanak kecil telah meninggal dunia di rumah perlindungan Tuam sepanjang tempoh operasinya.

Tapak rumah itu dibiarkan hampir tidak terusik selepas bangunannya dirobohkan pada tahun 1972, dan kawasan perumahan dibina di atasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN