Cari jalan terbaik satukan parti, bukan ambil tindakan disiplin - Utusan Malaysia

Cari jalan terbaik satukan parti, bukan ambil tindakan disiplin

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR perlu mencari jalan terbaik untuk menyatukan kembali ahli parti setelah dilihat beberapa ahli parlimen membuat gerakan sendiri mengenai proses pelantikan Ketua Hakim Negara.

Menjelaskan perkara itu, veteran PKR, Hassan Abdul Karim berkata, kekuatan dalaman parti perlu kembali diperkukuh bagi menjamin keutuhan pembentukan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tindakan disiplin bukanlah jalan penyelesaian.Yang diutamakan bukan menghukum ahli parlimen yang bersuara tetapi memberi penjelasan yang sejelasnya dan jujur berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam soal perlantikan hakim-hakim terutamanya jawatan Ketua Hakim Negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, dilaporkan sembilan ahli Parlimen PKR yang membuat gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara tidak melanggar sebarang disiplin parti.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, isu yang dibangkitkan merupakan perkara yang sudah diketahui umum dan boleh memberi kesan langsung kepada rakyat serta negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

Dalam masa yang sama, Hassan turut merayu supaya pihak pimpinan parti tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ahli parlimen yang terlibat, sekali gus berharap penjelasan yang akan dibuat hari ini akan kembali menjernihkan keadaan dalam kalangan semua pihak termasuk masyarakat seluruhnya.

“Esok petang 14 Julai (hari ini) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan semua ahli parlimen PKR dan Pakatan Harapan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.Saya berharap sembilan ahli parlimen PKR yang terbabit dapat datang.

“Saya percaya Perdana Menteri akan menjelaskan semua perkara berkaitan isu pelantikan hakim kanan Mahkamah Malaysia. Saya percaya penjelasan Perdana Menteri itu nanti akan dapat menyelesaikan segala kerisauan, kebimbangan dan rasa tidak puas hati berkaitan isu berkenaan,” ujarnya.

Sembilan Ahli Parlimen PKR sebelum ini mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Beliau mendakwa beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman.

Beliau menjelaskan keadaan tersebut dalam satu sidang media yang turut disokong Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN