KUALA LUMPUR: Pendengaran prosiding menghina mahkamah difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan 21 Julai ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu selepas peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti afidavit balasan defendan berkaitan prosiding menghina mahkamah yang baharu diterima semalam.
“Pihak kami perlu mendapatkan arahan daripada anak guam berhubung afidavit berkenaan dan anak guam saya juga kini berada di Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
“Oleh itu, kami mohon prosiding hari ini ditangguhkan dan saya percaya peguam defendan tidak membantah penangguhan ini,” kata Mior Nor Haidir.
Dalam pada itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid mengesahkan pihaknya baharu menyerahkan afidavit berkenaan semalam dan menunggu jawapan daripada plaintif, selain tidak membantah penangguhan prosiding hari ini.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes saman itu pada 22 hingga 24 Julai dan menetapkan 19 Jun untuk pengurusan kes.
Pada 7 Januari lalu, Presiden UMNO itu berjaya mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Mahathir.
Ini berkaitan tindakan Dr. Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Disember 2024 di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen, termasuk kad pengenalannya selepas memberi keterangan dalam kes saman terhadap Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty.’
Dr. Mahathir selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu pada 5 Disember lalu manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.
Dr. Mahathir, 99, selaku plaintif menyaman Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.
Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017. – UTUSAN










