MELAKA: Kerajaan negeri akan melaksanakan projek pencahayaan di beberapa kawasan kerap berlaku kemalangan jalan raya, khususnya di luar bandar, bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, lokasi-lokasi blackspot sedang dikenal pasti untuk penambahbaikan dari segi pencahayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan.
“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka dari Januari hingga April 2025, sebanyak 68 kemalangan maut direkodkan daripada 7,871 justeru kerajaan negeri akan menambahbaik sudut pencahayaan di kawasan terbabit bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah, khususnya penderaan bayi dan kanak-kanak serta pecah rumah dengan sebanyak 16 kes penderaan dan 131 kes pecah rumah dilaporkan dalam tempoh yang sama.
“Bagi mengekang jenayah, PDRM melaksanakan operasi Mobile Road Block dan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah bersama agensi penguatkuasaan lain,” katanya.
Katanya, hasil operasi itu, sebanyak 58 kes pecah rumah melibatkan 73 individu berjaya ditumpaskan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM dan semua agensi keselamatan serta menggesa tindakan tegas diambil terhadap kes penderaan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. – UTUSAN