PRN Sabah: BN terbuka adakan rundingan kerusi - Utusan Malaysia

PRN Sabah: BN terbuka adakan rundingan kerusi

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, Selandar, Melaka hari ini.-UTUSAN /AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik termasuk rakan dalam Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti tempatan Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan awal antara BN dan PH telah dimulakan bagi membincangkan pengagihan kerusi namun sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kita terbuka untuk berunding dengan siapa sahaja, termasuk rakan-rakan komponen PH dan beberapa parti tempatan di Sabah, bagi memastikan tiada pertindihan calon berlaku dalam PRN ini. 

“Ia penting bagi memastikan penyusunan strategi yang mantap dan pengagihan kerusi yang adil antara parti, demi memastikan kemenangan gabungan dalam PRN akan datang,” katanya. 

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, Selandar di sini, hari ini. 

Ia disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden baharu PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan hasrat untuk menuntut 13 kerusi di Sabah yang menurut Zahid merupakan perkara biasa dalam perbincangan dalaman gabungan PH.

“Kita amat hormati kerjasama antara BN dan PH, PH telah kenal pasti kerusi yang ingin ditandingi dan setelah BN selesai mengenal pasti kerusi-kerusi kita, barulah rundingan bersama akan dimuktamadkan. 

“Dulu kita menang 14 kerusi dan walaupun berlaku ‘pelompatan’, kita tetap anggap kerusi itu sebagai kerusi BN. Kita juga sedang meneliti ‘kebolehmenangan’ kerusi dalam kategori ‘tier dua’,” katanya.

Tambahnya, keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas pembubaran DUN dan berdasarkan rundingan terakhir bersama semua pihak terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN