Potensi besar perdagangan Malaysia-Kosovo, peluang akses pararan EU

Potensi besar perdagangan Malaysia-Kosovo, peluang akses pasaran EU

PRESIDEN Kosovo, Vjosa Osmani Sadriu dalam satu majlis rasmi sempena lawatan rasminya ke Malaysia yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - GAMBAR PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan pembukaan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur yang disifatkan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini akan membuka peluang kerjasama lebih luas termasuk pelaburan dalam pendidikan, budaya, pelancongan serta sektor halal yang mana Malaysia diiktiraf secara antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini turut membuka potensi besar dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, termasuk peluang akses pasaran melalui hubungan erat Kosovo dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Saya memberi jaminan bahawa hubungan ini bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, tetapi satu komitmen bermakna Malaysia sebagai rakan sejati kepada Kosovo,” tegas beliau dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Kosovo, Vjosa Osmani Sadriu di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa, termasuk kebebasan, hak asasi manusia serta keamanan global.

Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan strategik dengan Kosovo dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan, budaya dan pelancongan.

Menurut Anwar, Malaysia sentiasa mengikuti rapat perkembangan di rantau Balkan, termasuk perjuangan rakyat Kosovo yang gigih menuntut kemerdekaan dan berdepan pelbagai cabaran serta kekejaman.

“Kami, kerajaan dan rakyat Malaysia, amat berbesar hati menerima kehadiran Presiden Kosovo. Kami mengagumi keberanian rakyatnya yang telah melalui sejarah penuh kesukaran dan atrositi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas pengurniaan Darjah Kemerdekaan yang disampaikan oleh Vjosa yang disifatkan sebagai lambang penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap kemerdekaan Kosovo.

Anwar turut mengimbas kembali peranan penting yang dimainkan oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menjadi antara pemimpin dunia terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.

“Kami percaya pada kebebasan, keadilan dan maruah manusia, dari Palestin hingga ke pelbagai wilayah yang bergolak. Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan prinsip-prinsip tersebut,” kata Anwar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya