Permohonan suaka AS akan dibekukan tempoh panjang - Trump - Utusan Malaysia

Permohonan suaka AS akan dibekukan tempoh panjang – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan pentadbirannya bercadang mengekalkan pembekuan keputusan permohonan suaka untuk tempoh yang panjang selepas seorang warga Afghanistan didakwa menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan berhampiran Rumah Putih, menyebabkan seorang daripada mereka maut.

Trump berkata, tiada had masa ditetapkan bagi langkah itu, yang menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkaitan dengan senarai 19 negara yang sudah berhadapan sekatan perjalanan ke AS.

Trump menegaskan tindakan itu perlu bagi menghalang kemasukan individu dari negara tertentu yang dianggap berisiko.

“Kita tidak mahukan orang-orang itu. Ramai antara mereka tidak baik dan tidak sepatutnya berada di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita di dalam Air Force One.

Pembekuan itu diumumkan susulan insiden tembakan pada 26 November yang mengorbankan Sarah Beckstrom, 20, dan mencederakan parah seorang lagi anggota Pengawal Kebangsaan.

Suspek, Rahmanullah Lakanwal, 29, warga Afghanistan, telah ditahan dan didakwa atas pembunuhan peringkat pertama.

Laporan menyebut Lakanwal pernah menyertai “pasukan rakan kongsi” yang disokong CIA dalam operasi menentang Taliban sebelum memasuki AS melalui program penempatan semula selepas pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan pada 2021.

Dia diberikan status suaka pada April 2025 di bawah pentadbiran Trump, namun pegawai AS menuduh pentadbiran terdahulu yang diterajui Joe Biden gagal menjalankan tapisan ketat semasa pemindahan besar-besaran pelarian Afghanistan.

Trump sebelum ini menulis bahawa beliau merancang “menghentikan secara kekal migrasi dari semua negara Dunia Ketiga” bagi membolehkan sistem imigresen AS “pulih sepenuhnya”.

Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati hak asasi dan kumpulan imigran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN