PETALING JAYA: Kecerdasan buatan (AI) berpotensi meningkatkan akses kepada undang-undang dengan memberikan maklumat asas kepada orang awam tanpa perlu hadir ke firma guaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, teknologi itu perlu dimanfaatkan sebagai alat bantu dan bukannya ancaman, terutama bagi profesion perundangan mahupun perkhidmatan awam.
Katanya, AI tidak akan menggantikan peranan peguam sepenuhnya, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat mendapat maklumat asas sebelum meneruskan tindakan lanjut secara rasmi.
“Contohnya seorang ibu yang menghadapi masalah rumah tangga boleh mendapatkan penerangan awal berkenaan hak penjagaan hak, nafkah atau proses perceraian melalui portal bantuan guaman yang dilengkapi teknologi AI,” katanya semasa sesi dialog awam dan pelancaran AI Legal Justice Roadmap di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Tambah Azalina, semasa menghadiri Persidangan Undang-undang Komanwel di Zanzibar baru-baru ini, rata-rata menyambut baik teknologi AI jika diaplikasikan dalam sistem keadilan, terutama daripada segi nasihat awal dan dokumentasi.
“Tidak dinafikan, AI memang boleh membantu menyediakan draf surat tuntutan dan memberikan nasihat awal, tetapi ia juga memerlukan sentuhan manusia untuk membuat pertimbangan akhir.
Tegas Azalina, adalah penting bagi memastikan penggunaan AI secara bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan pelajar dan individu yang mungkin menyalahgunakannya.
“AI boleh bantu memberikan idea dan isi kandungan, tetapi tugas sebenar seperti menulis tugasan atau menyampaikan hujahan masih perlu dilakukan sendiri. Kita tidak mahu jadikan AI sebagai alasan untuk menipu,” katanya.
Dalam konteks Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) JPM, katanya, pihaknya sedang meneroka kaedah terbaik dalam mengintegrasikan AI ke dalam konteks guaman negara.
“Dengan jumlah rakyat yang ramai dan keperluan khidmat guaman yang tinggi, teknologi bukan sahaja membantu menjimatkan masa, malah memperluaskan capaian kepada hak perundangan,” katanya. – UTUSAN