BUKIT MERTAJAM : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas 50 ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat 51.18 kilogram (kg) di Perai, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 59 tahun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Helmi berkata, ketulan mampat ganja itu pula dijumpai dalam balutan plastik lutsinar berisi daun kering hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kereta yang dinaiki oleh mereka semasa ditahan.
“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mencecah RM158,658. Malah, ia juga boleh digunakan oleh seramai 102,360 orang penagih dadah (jika terlepas ke pasaran gelap),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Helmi berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun didapati negatif daripada penggunaan dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka.
Katanya, suspek-suspek itu yang masing-masing memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah ini direman selama tujuh hari iaitu hingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan,” ujar beliau.