Kilang besi diarah sedia laporan bantu siasatan pencemaran udara

Kilang besi diarah sedia laporan bantu siasatan pencemaran udara

SUNDARAJOO (kanan) menunjukkan video aduan penduduk berhubung pencemaran udara di Perai, Butterworth, baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebuah kilang besi di Perai diarah untuk mengemukakan laporan bagi membantu siasatan berkaitan pencemaran udara yang didakwa mengandungi elemen besi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, laporan berkala itu perlu dihantar selama tiga bulan bagi memastikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dapat menjalankan siasatan dengan lancar.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang tinggal kira-kira 100 meter dari kilang terbabit yang memaklumkan berlakunya pencemaran udara didakwa berpunca daripada kilang terbabit.

“Kita tidak boleh menuding jari ke arah kilang berkenaan selagi JAS negeri belum menjalankan pemeriksaan yang diperlukan.

“Walaupun tidak dapat dipastikan lagi punca pencemaran udara berkenaan, tetapi, oleh kerana habuk itu mengandungi kandungan besi yang boleh dimagnetkan, maka, kita rasa ia berpunca dari kilang besi.

“Kalau bukan dari punca (kilang besi) di sini, barulah kita pergi ke sana (kilang besi yang lebih jauh) dari kawasan udara tercemar ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang terbabit di sini, hari ini.

Jelas Sundarajoo, pihaknya sudah menemui dan mendapatkan kerjasama daripada Ketua Pegawai Operasi kilang besi berkenaan untuk melaksanakan pemeriksaan berwajib.

Tambah beliau, sejak minggu lepas, pihaknya telah menerima beberapa aduan secara lisan berhubung pencemaran udara daripada penduduk setempat, namun, tiada laporan bertulis dibuat kepada JAS negeri.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, Indeks Pencemaran Udara (API) yang dicatatkan ketika ini ialah bacaan antara 60 hingga 80.

“Selalunya API dalam 70. Kalau ikutkan Jabatan Meteorologi (Malaysia) pula, memang angin bertiup dari arah laut ke darat. Jadi, banyak (pihak) akan terkesan di kawasan-kawasan perumahan,” jelasnya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN