BUTTERWORTH : Syarikat penyedia global bagi penyelesaian kuasa rendah berasaskan kecerdasan buatan (AI), Syntiant Corp memperuntukkan 15 juta dolar Amerika Syarikat (AS) atau kira-kira RM60.83 juta sebagai pelaburan bagi membangunkan sebuah kampus pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf dunia yang baharu di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga merupakan pengasas bersama Syntiant, Kurt Busch berkata, kewujudan kampus baharu itu menandakan peluasan signifikan jejak global syarikat berpangkalan di California, AS itu selain mengukuhkan komitmen jangka panjang mereka terhadap Asia Tenggara.
Katanya, dengan adanya kampus berkenaan, ia dapat membantu mempercepatkan inovasi, meningkatkan sokongan kepada pelanggan selain mengukuhkan kerjasama merentasi rantaian nilai khususnya dalam bidang semikonduktor.
“Dalam hal ini, Pulau Pinang merupakan lokasi yang strategik untuk memperluaskan kepakaran inovasi elektronik canggih syarikat kami sekali gus menyumbang pada ekosistem teknologi Malaysia yang semakin berkembang,” katanya pada majlis pelancaran kampus tersebut di Perai, hari ini.
Hadir sama pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian serta beberapa kenamaan lain.
Berkeluasan kira-kira 220,000 kaki persegi, kewujudan kampus itu juga diyakini berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran semikonduktor tahunan sekitar 1.6 bilion unit sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang teknologi canggih tersebut.
Selain menggabungkan kerja-kerja pembuatan, kejuruteraan dan penyelidikan AI di satu lokasi, kampus tersebut yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang April atau Mei ini dijangka mampu menempatkan sehingga 800 orang pekerja pada satu-satu masa.
Mengulas lanjut, Busch memberitahu, pihaknya membawa bersama ‘DNA’ dalam menghasilkan penyelesaian yang lebih pantas, selamat dan cekap tenaga untuk semua pasaran pengguna, industri dan perusahaan.
“Dengan menggabungkan teknologi pengeluaran bertaraf dunia dan penyelidikan AI yang canggih, kami dapat memacu inovasi dan memenuhi keperluan pelanggan kami,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengurus Besar Syntiant Malaysia, Ong Lay Pean pula menjelaskan, pelaburan di Pulau Pinang membuktikan keyakinan pihaknya terhadap tenaga kerja dan ekosistem inovasi tempatan.
“Kemudahan baharu ini membolehkan kami menzahirkan penyelidikan moden menjadi penyelesaian dalam dunia sebenar yang memberi manfaat kepada pengguna dan industri di peringkat global.
“Dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvenstPenang, Syntiant memilih Pulau Pinang sebagai lokasi ideal untuk mengembangkan keupayaan pengeluaran dan R&D kami,” ujar beliau.-UTUSAN










