TELUK INTAN: Polis Daerah Bagan Datuk mengesahkan telah membuat tangkapan ke atas pemandu lori yang terbabit kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 17, Jalan Sungai Manik pada Selasa, bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ekor lembu di Hutan Melintang, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pekarangan Mahkamah Teluk Intan pada pukul 12.20 tengah hari tadi.
“Tangkapan dilakukan ke atas lelaki itu susulan laporan polis yang diterima daripada pengadu pada 14 April lalu berkaitan kehilangan dua ekor lembu ternakannya di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang.
“Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Rudi Zulkarnain Mat Radi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas membayar wang ikat jamin berjumlah RM6,000 bagi sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU pada 13 Mei lalu.
Pembayaran wang jaminan tersebut dibuat oleh majikan lelaki itu dikenali sebagai Ravi, 58, dan rakannya dikenali sebagai Roslan, 62.
Masing-masing membayar jaminan berjumlah RM4,000 dan RM2,000. – UTUSAN