Alliance Bank sasar pinjaman tumbuh hingga 10% 

Alliance Bank sasar pinjaman tumbuh hingga 10% 

KELLE KAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd. menyasarkan pertumbuhan pinjaman kasar antara lapan hingga 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, sedikit perlahan berbanding 12 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, unjuran itu lebih konservatif selepas mengambil kira faktor perkembangan semasa ekonomi.

“Namun, sekiranya ada ruang untuk melepasi paras 10 peratus, kami akan berusaha mencapainya. 

“Misalnya pada 2024, sasaran kami juga antara lapan hingga 10 peratus, tetapi kami berjaya mencatatkan pertumbuhan 12 peratus susulan lonjakan kukuh dalam ekonomi,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama media di sini, semalam.

Menurut beliau, margin faedah bersih (NIM) pula dijangka terus menyempit kepada antara 2.40 hingga 2.45 peratus, berbanding 2.45 peratus pada tahun sebelumnya, susulan perubahan dalam campuran aset dan liabiliti.

“Kos kepada pendapatan pula dijangka kekal sekitar 48 peratus, manakala kos kredit bersih diunjur dalam lingkungan 30 hingga 35 mata asas, sedikit meningkat berbanding 31.9 mata asas pada tahun kewangan 2025.

“Bagi pulangan ke atas ekuiti (ROE), ia diunjur hampir 10 peratus selepas pelaksanaan Terbitan Hak Bertebus berjumlah RM600 juta yang diumumkan pada Mac lalu dan dijangka selesai Julai 2025.

“Selain itu, menerusi pelaksanaan pelan pengembangan francais serta kawalan terhadap kenaikan perbelanjaan operasi, kami turut menyasarkan kadar bayaran dividen antara 40 hingga 50 peratus, berbanding 40 peratus tahun sebelumnya,” ujarnya.

Mengulas prospek makroekonomi, beliau berkata, Alliance Bank menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus tahun ini, menyederhana daripada 5.1 peratus yang dicatatkan pada 2024.

“Bank kekal berhati-hati namun optimistik terhadap unjuran ekonomi dengan mengambil kira dasar monetari yang menyokong, permintaan domestik yang berdaya tahan serta aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan.

“Bagaimanapun, risiko ketidaktentuan perdagangan global berpotensi menjejaskan prestasi eksport negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pertumbuhan pinjaman semasa bank melebihi purata industri, dengan tumpuan diberikan kepada peningkatan hasil daripada fi dan pendapatan perbendaharaan.

Sementara itu, katanya, Alliance Bank tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini.

“Pandangan kami, kadar itu akan kekal pada 3.00 peratus memandangkan beberapa faktor positif yang menyokong pertumbuhan ekonomi, antaranya penggunaan domestik yang mampan, ketibaan pelancong asing yang menggalakkan serta kadar pengangguran pada paras terendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×