Polis masih buru suspek buang bayi

Polis masih buru suspek buang bayi

MOHAMED Usuf (kiri) ketika melihat anggota polis, Mohd Kamarulzaman menderma darah pada Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-218 di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan suspek terlibat dalam kes pembuangan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat berhampiran sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan mendapati bayi berkenaan dipercayai berusia tujuh bulan dalam kandungan ketika dibuang.

“Mayat bayi tersebut ditemukan dalam plastik hitam dan dipercayai telah dibuang kira-kira 48 jam sebelum dijumpai pihak polis.

“Setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi berkenaan sama ada meninggal dunia sebelum dibuang atau lemas.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mayat bayi itu dibuang tidak jauh dari lokasi penemuannya,” jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki masih bertali pusat berhampiran restoran di Jalan Klang Lama kira-kira pukul 2.05 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan selepas seorang saksi ternampak objek menyerupai mayat bayi tersangkut pada batu berhampiran restoran tersebut sebelum menghubungi pihak polis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN