PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang saksi penting bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan seorang pekerja di Kondominium O.G. Height, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
“Saksi merupakan seorang wanita berusia 66 tahun yang bekerja sebagai Pengurus Bangunan di sebuah kondominium di ibu negara.
“Alamat terakhir saksi adalah di C-6-3, Kiara Residence 2, No. 3, Jalan Jalil Perwira 1, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi ini diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Sivalingam a/l Sillappan di talian 019-222 2414,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah lain juga boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis terdekat. – UTUSAN










