KUALA LUMPUR: Modus operadi sindiket didalangi warga Taiwan menjadikan kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah jenis amphetamine dalam bentuk cecair vape terbongkar dalam serbuan di Brickfields di sini Rabu lalu.
Serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berdasarkan risikan sejak tiga bulan lalu.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak April, tahun lalu dipercayai menukar lokasi memproses serta individu terlibat setiap tiga bulan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan dua lelaki warga Taiwan berusia antara 30 dan 35 tahun dipercayai berperanan sebagai ahli kimia dan penjaga stor.
Katanya, siasatan mendapati kondominium terbabit disewa dengan kadar RM4,100 sebulan untuk dijadikan makmal memproses cecair dadah vape berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
“Serbuan turut menemukan 20 bekas plastik, enam botol cecair vape mengandungi dadah amphetamine, 95 kartrij serta pelbagai peralatan pemprosesan seperti mesin pemanas, mesin pengadun, alat penimbang, tiga bikar kaca dan satu corong plastik.
“Jumlah cecair vape dirampas seberat 88.2 liter bersamaan 104 kilogram dengan nilai anggaran pasaran RM3.29 juta,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit dipercayai memasuki negara ini sebanyak dua kali pada tahun ini dan kali terakhir beberapa minggu lalu.
Jelasnya, semakan dengan pihak berkuasa Taiwan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, senjata api dan pengedaran dadah.
“Sebuah motosikal jenis Honda milik suspek turut disita dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket termasuk dalang utama yang dipercayai berada di Taiwan,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini tidak mempromosi cecair vape ini menggunakan media sosial sebaliknya menjual kepada pelanggan tetap melalui penghantaran bungkusan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Dadah ini dipercayai diedarkan 50 peratus untuk pasaran tempatan dan selebihnya ke luar negara termasuk Taiwan.
“Setiap kartrij dijual sekitar RM180 di pasaran tempatan dan sehingga RM400 bagi pasaran luar negara, sindiket ini dianggarkan memperoleh keuntungan sekitar RM10,000 sebulan,” katanya.
Mat Zani berkata, hasil analisis mendapati dadah yang dijadikan cecair vape ini memberi kesan buruk kepada pengguna seperti kerosakan hati, otak, gangguan emosi, ketagihan serta kegagalan pernafasan.
“Polis percaya sindiket ini bekerjasama dengan individu tempatan namun tiada kaitan dengan dadah jenis ‘magic mushroom’.
“Cecair ini juga mampu menjejaskan kesihatan kira-kira 441,000 pengguna, terutama golongan remaja,” katanya.
Jelasnya, ini merupakan kes pertama melibatkan pembongkaran kegiatan sindiket antarabangsa yang dikesan memproses cecair vape dadah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Taiwan untuk membawa semua suspek terlibat ke muka pengadilan.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN