PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran sekumpulan wartawan yang meminta beliau berjalan kaki ke restoran sejurus selesai solat Jumaat, sebentar tadi.
Anwar berjalan kaki ke Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan Termasyur yang terletak kira-kira 100 meter selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman, Presint 9, di sini.
Sebelum itu, sekumpulan wartawan berseloroh dengan meminta Perdana Menteri supaya hanya berjalan kaki ke restoran itu kerana ia terletak tidak jauh dari surau.
“Datuk Seri jom jalan dengan media ke kedai makan…kedai makan (restoran) belakang ni jer (sahaja),” sapa salah seorang wartawan.
Anwar kemudian menjawab; “Dekat mana?
Anwar bersama pegawai pengiringnya kemudian dilihat bergegas meninggalkan kenderaannya dan berjalan kaki menuju ke laluan pejalan kaki untuk ke restoran berkenaan.
Tindakan spontan Anwar itu membuatkan sekumpulan wartawan terutama jurugambar bertukar ‘kalut’ kerana tidak mahu melepaskan detik berkenaan.
Sebaik tiba di restoran berkenaan, Anwar bersama kenamaan lain dijamukan dengan makanan berasaskan kari.
Anwar sebelum itu menyertai 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman, Presint 9, di sini, hari ini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.05 tengah hari disambut ahli jawatankuasa kariah surau itu dan turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Hebahkan Pernikahan, Sempurnakan Tuntutan’ yang disampaikan Imam Surau Al-Iman, Ustaz Muhammad Solehuddin Jamaludin. – UTUSAN










