PKR Wilayah Persekutuan sokong Nurul Izzah penyambung perjuangan reformasi

PKR Wilayah Persekutuan sokong Nurul Izzah penyambung perjuangan reformasi

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 13 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi bagi mengangkat Nurul Izzah untuk terus menyambung obor perjuangan reformasi dengan memikul tanggungjawab Timbalan Presiden bagi pemilihan sesi 2025-2028.

Mereka ialah Ketua Cabang Bandar Tun Razak, Datuk Azman Abidin; Ketua Cabang Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Cabang Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz; Ketua Cabang Wangsa Maju, Andre Lai; Ketua Cabang Kepong, Neo Wong dan Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah.

Turut bersama ialah Ketua Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki; Ketua Cabang Batu, Asheeq Ali; Ketua Cabang Seputeh, S. Thiyagaraja; Ketua Cabang Bukit Bintang, Anwar Pawan Chik; Ketua Cabang Segambut, G. Vignesvaran; Ketua Cabang Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Cabang Cheras, Mohamad Raimi.

Dalam kenyataan bersama, 13 pemimpin itu berkata, situasi cabaran serta perubahan lanskap politik semasa politik tanah air menuntut satu langkah yang berani dalam usaha memperkukuh PKR sebagai parti yang sentiasa di hadapan dalam menerajui pentadbiran negara. 

Jelasnya mereka, melalui beberapa siri libat urus bersama akar umbi di peringkat nasional, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh bahawa Nurul Izzah diyakini menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang akan datang.

“Gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti yang sebati dengan liku-liku perjuangan yang memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti.

“Sebagai penggerak utama kempen Ayuh Malaysia, beliau berjasa besar menghidupkan semangat anggota di seluruh negara serta menjadi watak pendamai bagi menyatukan PKR sebagai satu keluarga besar yang akhirnya berjaya merealisasikan kemenangan parti untuk memerintah negara pada hari ini.

“Sokongan ini bukanlah atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata, tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah mereka, PKR memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi yang tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan. 

“Insya-Allah langkah berani ini akan disahut oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti untuk bergerak maju membawa harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN