IPOH: PKR Perak menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada sesi pemilihan 2025–2028 parti itu.
Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi berkata, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bukan asing dalam pentas perjuangan PKR dan telah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan.
Menurutnya, dengan pengalaman sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen bagi dua penggal, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, Nurul Izzah membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang.
“Pencalonan beliau bukan hanya soal personaliti, apatah lagi semata-mata faktor warisan. Ia adalah soal masa depan PKR sebagai parti yang terus relevan dan diyakini rakyat.
“Dalam dunia politik hari ini yang semakin mencabar, kita memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Nurul Izzah mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.
Beliau berkata, Nurul Izzah juga diyakini mampu memperkukuhkan lagi sinergi antara PKR dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, atas dasar itu, dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap amanah perjuangan dan masa depan parti, beliau berdiri teguh menyokong Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi pemilihan 2025–2028.
“Semoga pencalonan ini mendapat sokongan seluruh anggota dan membuka lembaran baru dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif,” katanya.
Sebelum ini, Nurul Izzah mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu. – UTUSAN