KUANTAN: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam di rumah kongsi pekerja lombong bijih timah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira pukul 3 pagi ini selepas dibawa oleh rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan tikaman di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam oleh seorang rakan serumahnya.
“Polis menahan empat rakan serumah mangsa dengan dua warga negara Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berusia antara 24 tahun hingga 38 tahun bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebilah pisau dapur yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Kemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Salah seorang suspek mengaku menikam mangsa kerana mangsa mabuk dan membuat kacau,” ujarnya. – UTUSAN











