SEREMBAN: Ahli-ahli PKR perlu memilih kepemimpinan baharu yang mampu menyelesaikan isu-isu yang sebelum ini ‘dijuarai’ oleh parti itu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sebelum ini, pengundi telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR untuk menguruskan kerajaan kerana percaya kemampuan parti dalam menguruskan ekonomi serta rasuah.
“Kekuatan kita ada dua, kita diyakini rakyat boleh menguruskan ekonomi dengan lebih baik, satu lagi kita dilihat lebih bersih dari parti-parti lain, melawan rasuah dengan lebih baik tetapi cuba lihat apa yang berlaku dari November 2023 sampai April 2025.
“Dalam tempoh satu tahun setengah sebenarnya rakyat di luar tidak bersetuju kita telah berjaya menangani rasuah dengan lebih baik. Sekarang kalau tengok yang tidak bersetuju dengan ekonomi (mengurus) 18 peratus sahaja.
“Tetapi yang kata tidak suka kerajaan ini kerana tidak menguruskan rasuah dengan baik sudah jadi faktor nombor satu. Orang yang tidak bersetuju dengan kerajan sudah jadi 31 peratus,” katanya ketika berucap pada program Jelajah HIRUK, di sini semalam.
Dalam program itu, beliau yang juga Menteri Ekonomi turut berkongsikan dapatan berkenaan kepercayaan soal ekonomi dan rasuah dalam kalangan pengundi.
Katanya, dapatan itu melibatkan empat peringkat usia iaitu ‘generasi boomer’ ke atas iaitu beusia 60 tahun ke atas; generasi X (45-59 tahun); generasi Millennial (28-44 tahun) dan generasi Z (18 hingga 27 tahun).
Menurutnya, menerusi dapatan itu, generasi Z telah memilih Pas sebagai parti yang dilihat boleh menangani isu rasuah dengan baik.
“Ada benda (perkara) yang pimpinan Pas buat yang diterima oleh rakyat jadi kalau tengok gen Z (dapatan) menangani rasuah lebih baik 29 peratus iaitu lebih tiga kali ganda daripada kita yang hanya lapan peratus.
“Sebab itu apabila saya sebut berhati-hati, pergi mana beg kepit ketiak ni sebab orang tengok, budak-budak muda tengok, kalau Angkatan Muda Keadilan (AMK) macam itu, itulah hasilnya (tidak dapat kepercayaan). Pedih dengar lebih baik daripada pedih bernanah masuk pilihan raya. Lebih baik saya terlajak beritahu hal sebenar daripada saya sembunyi semua ini.
“Pengundi-pengundi kita, anggota kita membuat pemilihan kali ni sebagai persiapan masuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16. Ini tugas Timbalan Presiden untuk merancang masuk pilihan raya dan saya beri hand over awal-awal,” katanya.
Pada Pemilihan PKR kali ini, Rafizi akan mempertahankan jawatan timbalan presiden sambil dicabar bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. – UTUSAN