Flamingo serang sawah padi, petani di Itali kerugian besar - Utusan Malaysia

Flamingo serang sawah padi, petani di Itali kerugian besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FERRARA: Kehadiran burung flamingo secara luar biasa di wilayah timur laut Itali mencetuskan keresahan dalam kalangan petani apabila haiwan itu merosakkan tanaman padi di kawasan sawah, khususnya di wilayah Ferrara yang terkenal dengan penghasilan beras untuk risotto.

Flamingo bukanlah haiwan perosak padi secara langsung, tetapi tabiat semula jadinya menggugat tanaman tersebut apabila ia menggunakan kakinya untuk mengocak lumpur bagi mencari makanan seperti siput, alga dan serangga dalam air cetek.

Tanaman padi yang masih muda menjadi ‘mangsa sampingan’ tindakan burung tersebut.

Akibatnya, petani di kawasan itu terpaksa berkawal siang dan malam bagi menghalau flamingo yang singgah di sawah mereka.

Mereka membunyikan hon lori, mengetuk tong dan menembak meriam gas kecil yang menghasilkan bunyi dentuman kuat namun tindakan itu hanya menyebabkan flamingo berpindah ke sawah lain yang berdekatan dan mengulangi perbuatan yang sama.

Enrico Fabbri, 63, seorang petani di Jolanda di Savoia, berkata dia berasa kecewa selepas mengalami kerugian sehingga 90 peratus di beberapa kawasan tanaman padinya.

“Ini perkara baru yang tak pernah berlaku sebelum ini. Kami habiskan masa dan tenaga untuk menyediakan segalanya dengan teliti. Tetapi apabila tanaman mula tumbuh, tiba-tiba semuanya musnah seperti diambil daripada kita. Perasaannya seperti kehilangan anak yang baru lahir,” katanya.

Kumpulan flamingo itu dipercayai datang dari kawasan lembah Comacchio, iaitu kawasan perlindungan burung berhampiran muara Sungai Po yang mengalir ke Laut Adriatik.
Sebelum ini, flamingo biasanya tinggal di tasik-tasik di Afrika Utara, Sepanyol dan kawasan Camargue di Perancis.

Sehingga kini, belum ada kajian terperinci mengenai sebab burung itu mula mencari makanan di kawasan pedalaman dan kebetulan, petani di Ferrara membanjiri sawah mereka dari lewat musim bunga hingga awal musim panas bagi proses percambahan benih padi, menjadikan kawasan itu destinasi menarik untuk flamingo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN