TUMPAT : Umat Islam dinasihatkan berhati-hati memilih lembu untuk melakukan ibadah korban agar tidak membeli lembu seludup yang menyalahi undang-undang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia penting supaya pelaksanaan ibadah korban itu diterima Allah SWT.
“Seeloknya pilihlah haiwan korban yang terbaik jika kita ingin korban, korbanlah sebaik-baiknya.
“Ia tiidak menyalahi undang-undang, selari dengan roh Aidiladha iaitu ingin pengorbanan yang terbaik dengan mengambil kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail,” katanya selepas Himpunan Silang Budaya Panglima Gayong Bersama Pendekar Kelantan dan Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, di sini hari ini.
Menurutnya, bukan kuasanya untuk menjatuhkan hukum haram jika ada umat Islam melakukan ibadah korban dengan lembu seludup.
“Kita rujuk perkara itu kepada pihak yang ada kuasa. kita boleh memberi pandangan, nasihat dan panduan untuk melakukan ibadah korban,” katanya. – UTUSAN