PETALING JAYA: Pihak berkuasa diminta untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung nahas jalan raya membabitkan treler sarat dengan muatan batu dan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap, Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu pihak berkuasa juga diminta untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan.
“Pihak berkuasa diseru untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di akaun X hari ini.
Terdahulu, kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan batu merempuh hadapan lori FRU Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya.-UTUSAN