Petronas teruskan aktiviti seperti biasa ikut PDA 1974

Petronas teruskan aktiviti seperti biasa ikut PDA 1974

ANWAR Ibrahim bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertukar perjanjian persefahaman (MoU) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meneruskan operasinya seperti biasa dan tidak akan terjejas dengan deklarasi bersama yang dimeterai dengan Kerajaan Negeri Sarawak hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Petronas akan terus menjalankan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan mengikut Akta Kemajuan Petroleum (PDA 1974).

Menurutnya, prinsip asas itu telahpun dipersetujui bagi mempermudahkan rundingan seterusnya antara Petronas dan Petros.

“Deklarasi bersama itu memperakui undang-undang Persekutuan dan Negeri, kedudukan perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama di antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros).

“Semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam Negeri Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di Sarawak, termasuk Petronas dan Petros,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PMO memaklumkan, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah melantik Petros sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac 2025.

Katanya, pelantikan itu hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Sarawak.

“Sebarang perjanjian dan pengaturan (arrangement) antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas,” katanya.

Selain itu, PMO memaklumkan Petronas dan Petros hendaklah mengadakan perbincangan bagi tujuan meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik Sarawak dalam bidang ditetapkan.

Katanya, antaranya kerjasama itu termasuk projek-projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2
bilion kaki padu sehari (billion standard cubic feet per day) (Bscf/d) bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

“Kerjasama lain merangkumi lain-lain projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang
mungkin dilaksanakan oleh Petronas dan Petros, selaras dengan aspirasi Negeri Sarawak.

“Semua perbincangan lanjut mengenai kerjasama mesti tertakluk kepada daya maju komersial dan teknikal. Bagi tujuan projek-projek masa depan di Sarawak yang melibatkan rakan kongsi
antarabangsa, Petronas akan bekerjasama dengan Petros,” katanya.

PMO juga memaklumkan kedua-dua Petronas dan Petros hendaklah berusaha untuk terus bekerjasama memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus.

“Potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan ini mampu memperkukuhkan kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur khususnya syarikat-syarikat antarabangsa di dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan sidang akhbar di sini hari ini bagi memaklumkan deklarasi bersama yang dicapai antara kedua-dua pihak mengenai industri minyak dan gas di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN