KUALA LUMPUR: Festival Latihan Pestapora Malaysia yang bakal berlangsung 26 Julai ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi menjadi platform menyatukan dua negara melalui semangat muzik dan komuniti.
Menurut CEO dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, festival tersebut adalah bentuk kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan secara terbuka menerusi muzik.
“Setiap tahun ribuan rakyat Malaysia ke Jakarta untuk menyaksikan Pestapora, tapi tahun ini mereka boleh hayati festival itu di sini terlebih dahulu.
“Latihan Pestapora Malaysia ini juga bukanlah sekadar persembahan pentas biasa. la adalah platform untuk kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan melalui muzik,” katanya.
Tambahnya lagi, festival ini akan menjadi pentas preview kepada acara utama Pestapora yang akan diadakan di Jakarta pada September nanti.
“Latihan Pestapora ini adalah seperti sneak peak kepada rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk terbang ke Jakarta untuk festival utama, malah persediaan kepada peminat akan hadir ke acara utama,” katanya.
Dalam pada itu, Rohit berkata seramai 24 artis dari Indonesia dan Malaysia akan tampil di pentas, menjadikan festival itu satu pertemuan seni dan muzik Nusantara yang dinanti-nantikan.
“Antara artis tanah air yang bakal kami bawakan ialah Dolla, Bunkface, SonaOne, Salammusik dan Yonnyboi. Line up yang lain akan kita maklumkan kemudian, jadi stay stuned!,” katanya.
Sementara itu, rakan penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Boss Creator, Kiki Ucop berkata, pihaknya amat berbangga kerana dapat membawa semangat Pestapora ke Malaysia.
Menurutnya, Latihan Pestapora merupakan sebahagian daripada perjalanan jangka panjang dalam memperluas komuniti muzik serantau.
“Pestapora bukan sekadar festival muzik, ia adalah platform komuniti yang menyatukan pelbagai generasi dan cerita dan kami sangat teruja dapat membawakan semangatnya ke Malaysia,” katanya.
Terdahulu, lebih 2,000 tiket telah habis dijual sebelum pengumuman barisan artis secara rasmi, membuktikan jenama Pestapora semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan.-UTUSAN