PETALING JAYA: Sambutan Pesta Kaamatan penghujung bulan ini dilihat mampu menjadi platform memperkasa sumber ekonomi dan budaya dalam kalangan penggiat seni, komuniti kreatif, usahawan tempatan serta pengamal warisan negeri Sabah.
Justeru Lembaga Pelancongan Sabah dalam kenyataan berkata, pelbagai program dan aktiviti telah diatur dan dibuka kepada umum sepanjang pesta itu berlangsung.
Katanya, antara program diadakan termasuk ritual tradisional yang dikendalikan Bobohizan, iaitu pendeta tradisional masyarakat Kadazandusun.
“Setiap nyanyian dan gerak isyarat yang dilafazkan merupakan penghormatan kepada Bambarayon atau semangat padi, sambil memohon berkat dan kesejahteraan untuk negeri dan rakyatnya.
“Upacara simbolik ini menjadi jambatan hidup yang menghubungkan masyarakat dengan dunia alam, sekaligus memperkukuhkan ikatan antara manusia dan roh alam dalam tradisi Kadazandusun,” katanya hari ini.
Pesta Kaamatan akan diadakan selama dua hari bermula 30 Mei ini di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre, Penampang.
Dalam pada itu, Lembaga Pelancongan Sabah berkata, persembahan tarian pelbagai etnik seperti Sumazau juga dipersembahkan.
“Tarian Maragang dari Tambunan yang penuh semangat dengan gerakan lincah dan laungan jeritan ‘pangkis’ memberi pendedahan kepada hadirin.
“Terdapat juga tarian Sazau Papar dan tarian Mongigol yang bersemangat, mendapat sambutan baik daripada pengunjung malah ia turut dipersembahkan semasa acara utama Kaamatan,” ujarnya.
Lembaga Pelancongan Sabah dalam masa yang sama berkata, kemuncak bagi acara Pesta Kaamatan nanti turut diadakan pertandingan Ratu Pesta Kaamatan.
“Ia bukan sekadar pertandingan ratu cantik sebaliknya sebagai satu penghormatan kepada semangat Huminodun, seorang puteri lagenda yang mengorbankan dirinya demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – UTUSAN