Pesara JPJ menang RM1 juta cabutan BSN SSP

Pesara JPJ menang RM1 juta cabutan BSN SSP

AZIZAH Kamarudin menerima replika cek pada Majlis Penyampaian Replika Cek Jutawan BSN SSP ke-111, di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menyangkakan bergelar jutawan segera apabila memenangi wang tunai berjumlah RM1 juta menerusi program Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP).

Azizah Kamarudin, 65, yang berasal dari Kuala Pilah itu menjadi individu ke-111 yang menerima ganjaran tersebut apabila dia mula menabung BSN SSP sejak 35 tahun lalu.

Menurutnya, dengan tabungan serendah RM10, dia mula menyimpan dalam BSN SSP setelah diajak rakannya untuk sama-sama menabung serta mengetahui peluang memenangi beberapa hadiah.

“Sebenarnya bohong lah kalau kata tidak harap hendak menang, tetapi tidak lah saya jangka dapat menang RM1 juta. Saya pun simpan sedikit demi sedikit sahaja bukan setiap bulan.

“Malah, dalam simpanan BSN SSP ni juga saya simpan sebanyak RM500 ganjaran saya mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) semasa berkhidmat sebagai kenangan ganjaran,” katanya.

Dia ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Replika Cek Jutawan BSN SSP ke-111, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengurusan Deposit Negeri, BSN Negeri Sembilan, Mohd. Ruzaini Mohd. Sani.

Azizah memaklumkan, dua daripada tiga anaknya turut sama menabung dalam BSN SSP dan bank berkenaan juga menjadi pilihannya sejak mula bekerja sebagai pembantu tadbir.

Dalam pada itu, dia memberitahu akan berbincang dengan suaminya, Baharuddin Md Yusof, 65, mengenai kegunaan wang tersebut.

Menurutnya, mereka suami isteri sememangnya mengimpikan untuk dapat menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

“Malah, tahun ini juga merupakan tahun rezeki buat saya sekeluarga apabila kami suami isteri berserta tiga anak termasuk seorang menantu berusia 32 hingga 36 tahun menerima panggilan haji,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun memberi laluan buat anak-anaknya menunaikan haji buat kali pertama kerana dia dan suaminya sudah pun berpeluang menunaikan haji pada tahun 2008.

“Saya menjaga tiga cucu sementara anak sulung serta menantu menunaikan haji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN