Perunding pembinaan didenda RM20,000, gagal lapor suapan kontraktor

Perunding pembinaan didenda RM20,000, gagal lapor suapan kontraktor

AZRUL Rizad Othman diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan gagal melaporkan menerima suapan daripada seorang kontraktor projek. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengarah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana gagal melaporkan suapan diterimanya berjumlah RM3,000 daripada seorang kontraktor projek, tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Azrul Rizad Othman, 47, sejurus pertuduhan pilihan kedua dibacakan  oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik Mediaworks Design telah diberikan suapan wang tunai RM3,000 oleh seorang lelaki dan gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis berhampiran.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe di Jalan Kota Fesyen 1, Mukim Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 18 September 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang telah dilantik sebagai perunding bagi kerja membina sebuah kediaman teres satu tingkat di Tanjung Minyak bernilai RM1.9 juta telah meminta rasuah wang tunai sebanyak RM3,000 untuk diri sendiri sebagai dorongan mengesyorkan sebuah syarikat kontraktor untuk melaksanakan kerja tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon tertuduh dikenakan denda setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam manakala wang tunai yang disita berjumlah RM3,000 dikembalikan kepada SPRM dan pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 diambil pertimbangan (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu denda rendah tanpa pemenjaraan dengan alasan pendapatan anak guamnya terjejas selepas ditahan SPRM, selain menanggung seorang isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta membenarkan permohonan pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN