PUTRAJAYA: Permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan memalsukan dokumen sebagai satu tindakan pramatang.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hal ini kerana penghakiman penuh rayuan akhir tertuduh masih belum siap.
“Disebabkan alasan penghakiman masih belum disiapkan, jadi permohonan (semakan) ini adalah pramatang. Pemohon (Peter) sendiri dalam afidavitnya menyatakan beliau akan memfailkan afidavit tambahan selepas menerima penghakiman penuh.
“Kami tidak menghalang mereka memfailkan semakan tetapi tunggulah penghakiman penuh. Isunya sekarang, penghakiman ringkas tidak mempunyai isu yang boleh saya hujahkan,” kata Wan Shahrudin ketika mengemukakan bantahan awal pendakwaan, semalam.
Pada prosiding itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang dengan Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli kemudian menetapkan Jumaat ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.
Terdahulu, peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan alasan penuh penghakiman, namun ia masih belum siap.
“Pihak kami (pemohon) ada meminta court recording transcription (tanskripsi rakaman mahkamah, namun kami tidak mendapat dan yang ada dengan kami hanya nota prosiding sahaja,” katanya.
Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhir Peter.
Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah didapati memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).-UTUSAN