IPOH: Memperkukuh dan mengaktifkan semula sayap Pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak menjadi agenda utama Timbalan Ketua Cabang PKR Tambun, A Kalaimughilan jika menang jawatan Naib Ketua AMK Pusat pada pemilihan parti itu.
Beliau melihat Sabah dan Sarawak mempunyai ramai pemimpin muda yang berbakat yang boleh diketengahkan namun Sarawak terutamanya, tidak mencalonkan bertanding bagi jawatan-jawatan utama dalam AMK pada pemilihan kali ini.
Katanya, sekaligus ini menunjukkan masih kurang penyertaan golongan muda dari negeri tersebut.
“AMK Sarawak tidak ada pencalonan di beberapa Cabang pada pemilihan kali ini, menunjukkan AMK di negeri itu belum lagi kukuh.
“Jika saya dipilih sebagai Naib Ketua AMK, salah satu negeri yang saya akan beri tumpuan adalah Sarawak dan Sabah, dengan agenda menggalakkan lebih ramai anak muda Borneo menyertai PKR dan memimpin negeri itu.
“Saya akan sarankan menteri dan timbalan menteri menjaga dua negeri itu supaya sayap AMK dapat diperkukuhkan.
“Saya juga akan turun ke negeri-negeri yang saya jaga setiap dua bulan jika menang nanti dan meletakkan pegawai perhubungan AMK untuk mengangkat isu-isu tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Berpengalaman luas dalam gerakan anak muda dalam parti itu, Kalaimughilan menyertai PKR secara rasmi pada usia 18 tahun iaitu pada tahun 2009.
Bapanya menyertai PKR sejak 2001 lagi dan pernah bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) Chenderiang pada pilihan raya umum selain ibunya pula pernah menjadi Exco Wanita Pusat parti itu pada 2008.
Kalaimughilan menjelaskan, keputusannya bertanding pada pemilihan kali ini bukan sekadar mahu mencuba nasib tetapi mahu mempertaruhkan pengalamannya untuk membawa AMK ke tahap terbaik.
Jelasnya, AMK memerlukan barisan kepimpinan berpengalaman bagi memperkukuhkan sayap PKR itu yang kini diterajui Ketua AMK yang baharu, Muhammad Kamil Abdul Munim yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti kali ini.
“Walaupun Muhammad Kamil memiliki keupayaan tersendiri, namun kekuatan AMK juga bergantung kepada pasukan yang mendukung beliau untuk terus memperkasakan sayap PKR.
“AMK perlukan pemimpin berpengalaman untuk membantu Muhammad Kamil. Pasukan yang akan dipilih nanti perlu membantu menguatkan lagi beliau. Untuk itu perwakilan perlu membuat kajian dan semak kemampuan calon-calon agar AMK terus kuat,” katanya. – UTUSAN