JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang-Kempas Baru, di sini beroperasi semula selepas dinaik taraf membabitkan kos RM55 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu disiapkan lebih awal, iaitu dalam tempoh enam bulan sahaja berbanding 24 bulan yang diberikan.
Katanya, projek tersebut membabitkan pembinaan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu kelikir serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan.
“Landasan perkhidmatan kargo sepanjang 40 kilometer yang menghubungkan tiga jajaran utama, iaitu Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang mula beroperasi hari ini selepas ditutup sementara sejak Oktober tahun lalu.
“Pembukaan semula laluan ini telah meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api kargo daripada dua menjadi enam perjalanan sehari serta melonjakkan jumlah pengendalian kontena daripada 140 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) menjadi 420 TEUs sehari,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan Operasi Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang -Kempas Baru, di sini hari ini.
Siew Fook berkata, pembukaan semula perkhidmatan kargo itu akan mengurangkan keberadaan treler di rangkaian jalan raya di negeri ini dan negeri lain selain lebuh raya utama.
Perkhidmatan itu juga akan memperkukuhkan perhubungan antara Pelabuhan Pasir Gudang dengan pelabuhan utama lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan ke Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, Siew Fook memaklumkan KTMB juga bakal memperkenalkan perkhidmatan koc penumpang baharu bagi laluan itu yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.
Menurutnya, perkhidmatan itu susulan pembukaan semula landasan kereta api kargo tersebut dan selari dengan kehendak kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di laluan berkenaan.
“KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi akan menyediakan perkhidmatan koc penumpang dengan menggunakan koc KTMB sedia ada dan akan mempertimbang untuk membeli koc baharu pada masa akan datang. Kita jangka perkhidmatan mampu disediakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan lagi,” katanya. – UTUSAN









