Perkeso hulur bantuan lebih RM2,500 kepada keluarga bekas petugas media

Perkeso hulur bantuan lebih RM2,500 kepada keluarga bekas petugas media

TENGKU KHALIDA Tengku Bidin (kanan) menyerahkan sumbangan faedah penakat kepada Anis Sabariah Kamaruddin (tengah) pada Program Ziarah Prihatin Perkeso di Klang Gate Baru, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menghulurkan bantuan faedah penakat lebih RM2,500 sebulan kepada keluarga Allahyarham Mohd. Khairi Mazlan, bekas petugas media yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 24 Mei lalu.

Bantuan itu merangkumi Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 dan pencen penakat bulanan RM2,553 yang akan mula dibayar hujung bulan ini.

Menurut PERKESO, Allahyarham layak menerima faedah tersebut berdasarkan rekod caruman terakhir pada Jun 2021.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai petugas media bersama Utusan Malaysia selama 22 tahun bermula 1997 hingga 2019, sebelum menyambung khidmatnya di New Straits Times (NST) dan Dagang News.

Balu Allahyarham, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, berkata, bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya yang perlu menyara empat anak termasuk seorang anak istimewa.

“Alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak membantu menampung kos pendidikan dan keperluan harian kami,” katanya ketika menerima kunjungan Ziarah Prihatin Perkeso di Klang Gate, di sini.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin bersama Pegawai Eksekutif Sosial Sinergi Perkeso, Norhayati Muhammad Sidek yang menyampaikan bantuan serta memberikan penerangan berkaitan faedah yang layak diterima waris, termasuk proses tuntutan dan kelangsungan perlindungan sosial di bawah agensi itu.

Perkeso berkata, perlindungan sosial bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kasih pencarum buat yang tersayang.

Agensi itu turut menyeru majikan agar sentiasa memastikan caruman pekerja dibuat secara konsisten demi masa depan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN