Perhimpunan Melayu Berdaulat aman, tidak ganggu agenda kerajaan

Perhimpunan Melayu Berdaulat aman, tidak ganggu agenda kerajaan

SYED Hassan Syed Ali dalam sidang akhbar mengenai penganjuran Perhimpunan Melayu Berdaulat di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat menegaskan, penganjuran Perhimpunan Melayu Berdaulat pada 24 Mei ini bukan bertujuan mencetus kekacauan atau mengganggu Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di ibu negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Syed Hassan Syed Ali berkata, tarikh yang bertindih hanyalah satu kebetulan dan tidak sama sekali bertujuan untuk mengganggu agenda kerajaan dalam memastikan segala program rasmi berjalan lancar.

Katanya, perhimpunan anjuran gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dijadualkan bermula pukul 2.30 petang di hadapan Kompleks Sogo dan dilaksanakan secara aman mengikut undang-undang sedia ada.

“Perhimpunan ini bukanlah satu rusuhan, tetapi hanyalah luahan kegusaran rakyat yang semakin tertekan melihat hak Melayu dan Islam semakin terhakis,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, perhimpunan kali ini bertujuan memperlihatkan penyatuan bangsa Melayu merentasi fahaman politik di negara.

“Perhimpunan ini yang terbesar dianjurkan sekretariat sejak tiga tahun lalu dan dijangka menghimpunkan hampir 10 badan NGO termasuk dari luar Lembah Klang.

“Surat jemputan telah dihantar kepada semua parti politik Melayu dan lima sudah sahkan penyertaan termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa),” katanya.

Katanya, sekretariat telah memaklumkan penganjuran perhimpunan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjangkakan kerjasama yang baik untuk memastikan kelancaran himpunan itu nanti.

“Fokus utama tetap diberikan kepada wakil NGO-NGO Melayu kerana perhimpunan itu digerakkan atas inisiatif akar umbi yang ingin memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama secara bersama.

“Kami telah kenal pasti empat lokasi berkumpul iaitu Masjid Jamek, Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Laut berdekatan pejabat Pas pusat dan Kelab Sultan Sulaiman. Peserta juga digalakkan berpakaian putih sebagai simbol solidariti,” katanya.

Mengulas dakwaan himpunan berisiko menimbulkan ketegangan kaum, Syed Hassan menafikannya dan berkata, mereka tidak akan menyentuh isu kaum lain atau menghina mana-mana agama.

“Kita hanya bercakap tentang isu Melayu dan Islam yang makin diketepikan. Kalau masa BERSIH dulu, bangsa lain boleh berhimpun tanpa halangan, kenapa kita tak boleh berhimpun untuk hak sendiri secara aman?” katanya.

Dalam perkembangan sama, program selawat dan munajat turut dianjurkan oleh wakil wanita daripada NGO terbabit bermula pukul 11 pagi di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sebagai pengisian rohani menjelang perhimpunan utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN