KLUANG: Seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam jenayah samun bersenjata di sekitar daerah ini sejak awal tahun mati ditembak dalam kebun kelapa sawit di Kampung Palembang Baru di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an dikesan dalam keadaan mencurigakan di bandar ini dipercayai untuk menyamun.
“Polis mengekori suspek sebelum suspek menyedari kehadiran pasukan polis, lalu bertindak melarikan diri ke kawasan kebun sawit.
“Suspek kemudiannya menyerang pasukan polis dengan bersenjatakan parang. Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek demi mempertahankan diri,” kata sumber ketika dihubungi.
Polis Kontinjen Johor dijangka mengeluarkan kenyataan berkaitan kejadian dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Palembang Baru, Sodikin Dullah Ismail, 73, berkata, tidak menyedari kejadian itu walaupun hanya kira-kira 200 meter sahaja dari penempatan mereka.
Katanya, kejadian itu hanya diketahui selepas melihat pergerakan kenderaan dan anggota polis di tempat kejadian. – UTUSAN