KLUANG: Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi berusia lima bulan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, Amirah Hajirah Mohd. Farid, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh.
Tertuduh didakwa mendedahkan kanak-kanak berusia lima bulan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di sebuah taska di antara pukul 8.30 malam pada 8 April hingga 7 pagi, 9 April lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli menawarkan jaminan berjumlah RM15,000, namun peguam tertuduh, Norliana Hashim merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 berikutan anak guambya tidak bekerja dan masih ditanggung oleh keluarga serta tidak mempunyai pendapatan selepas kejadian.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menetapkan 13 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen. – UTUSAN