BATU PAHAT: Kira-kira 400 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Simpang Kiri, Parit Sulong dekat sini berharap kediaman mereka tidak dirobohkan bagi memberi laluan terhadap projek rancangan tebatan banjir (RTB).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RTB Parit Sulong, Hairul Fauzi Mokli berkata, jika kediaman dirobohkan, sukar untuk penduduk membina semula rumah dan mencari tapak lain yang bersesuaian.
“Walaupun menyedari tanah yang diduduki ketika ini adalah tanah hak milik kerajaan, namun penduduk merayu agar tiada perobohan kediaman berlaku dengan cara menukar RTB daripada konsep ban tanah menjadi tembok tebatan banjir (flood wall).
“Ini kerana kaedah ban tanah akan menyebabkan banyak rumah terpaksa dirobohkan berbanding menggunakan flood wall,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat, Zaini Dollah, semalam.
Tambah Hairul Fauzi, pihaknya tidak menolak pembangunan yang dirancang, namun kerajaan juga perlu memikirkan nasib penduduk terlibat.
“Semua penduduk terlibat dalam projek RTB ini adalah mereka yang telah tinggal di kawasan Parlimen Parit Sulong lebih 50 tahun lalu. Projek ini melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan,” katanya. – UTUSAN