KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bijak menggunakan pendekatan dua hala dan kolektif ASEAN dalam rundingan tarif timbal balik bersama Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kuasa tawar-menawar lebih seimbang dan berpihak kepada negara rantau ini.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, meskipun AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama sembilan bulan, rundingan tetap perlu diteruskan secara bijaksana.
“Jika kita berunding secara unilateral, kuasa lebih besar akan memihak kepada AS. Tetapi jika ASEAN bergerak secara kolektif dengan kekuatan ekonomi mencecah AS$3 trilion dan populasi seramai 680 juta orang, kita mempunyai kelebihan dari segi rundingan.
“Malaysia perlu memastikan kepentingan nasional dijaga, termasuk kelangsungan pelaburan syarikat teknologi AS seperti Intel dan Microsoft yang kini beroperasi di negara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.
AS mengumumkan kenaikan tarif 24 peratus terhadap barangan import melibatkan lebih 180 negara termasuk Malaysia namun pelaksanaan tarif ditangguhkan selama 90 hari yang dijangka berakhir 9 Julai ini, bagi memberi ruang rundingan dilaksanakan.
Mohd. Azizuddin berkata, Malaysia berpeluang memainkan peranan sebagai ‘jambatan’ antara negara anggota ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi dan pelaburan.
Jelasnya, kerjasama antara ASEAN dan GCC bukan sahaja membuka ruang pelaburan baharu, malah berupaya memperluas pembangunan industri halal serta teknologi secara dua hala.
“GCC terdiri daripada negara-negara Teluk yang kaya dengan sumber tenaga dan kuasa ekonomi besar di Asia Barat.
“Malaysia dan negara ASEAN boleh mengambil peluang ini untuk menarik pelaburan serta meneroka projek kerjasama dalam sektor tenaga, infrastruktur dan pembangunan mampan,” ujarnya. – UTUSAN










